Sunday, May 25, 2008

Assalamualaykum Ustazah!

Peperiksaan setengah tahun kali ni, ana kerap diberi relief. Hari rabu pun dapat relief juga walaupun rabu lah hari kritikal ana. (sebab ada 9 hissoh) kebetulan, ana masuk kelas 2 Jaya. Kelas ni memang terkenal dengan ke perwiraan murid istimewa-Fakri. Bukan istimewa sebab ada kekurangan atau kecacatan, tetapi istimewa sebab selalu cetus masalah! Sebelum-sebelum ni, ana kerap ‘kerja’ kan dia kerana tidak tahan dengan kerenahnya yang sangat keterlaluan. Memang dia budak yang sentiasa dalam perhatian guru-guru.

Satu hari tu, sampai ana terpaksa ikat dia kat pintu grill kelas selepas dia mengamuk ana tidak mengambil dia masuk ke kelas ana.

Mulanya ana bawa bersabar. Tapi, bila dia semakin agresif dengan melibas pintu kelas ana dengan batang penyapu, ana jadi terkejut luar biasa sehingga memaksa ana menjerit kepadanya. Dengan rasa seronoknya, dia mengejek-ejek ana, sebagai merai kejayaan dia menyakitkan hati ana.

Tanpa disuruh, ringan saja kaki ana mengejar dia sampai ke tingkat bawah. Masa tu ana sudah menggigil geram. Dalam hati ana memang berazam jika dapat menangkapnya, akan ana ajar dia biar serik.

Suka sangat dia bila dikejar ana. Dia terasa dia menang besar. Ana rasa masa tu ana pun jadi macam kawan-kawan dia saja. Ana ambil keputusan untuk berhenti. Ana masuk ke kelas kak Suzi. Kak Suzi pesan, pedulikan saja Fakri tu, makin dilayan menjadi-jadi. Ana jawab, kalau ana tidak ajar dia sekali ni, mungkin ana akan dapat darah tinggi, sebab selama ni pun, ana dah banyak bersabar dengan perangai dia yang bermusim tu.

Fakri masih tersengih kerana fikir ana takkan dapat tangkap dia. Maka dia cuba dekati kelas ana untuk mengambil kasut kawan-kawannya dan mencampak kemana-mana yang disukai. Rancangan nakalnya dapat ana patahkan bila dia terkepung dek koridor.

Tanpa buang masa, ana pukul dia, tarik, cubit, jerit dan heret dia ke pintu grill lantas mengikat tangannya dengan tali rafia. Badan ana tertahan-tahan menggigil meluah rasa marah. Ana rasa muka ana panas. Kawan-kawannya yang berada di dalam kelas itu semuanya terdiam. Terkejut mungkin dengan tindakan separuh mati guru mereka.

Fakri menangis di grill tu. Dia cuba membuka tali yang menggari sebelah kiri tangannya. Ana menyambung kembali p&p yang tergendala oleh adegan lagak ngeri sebentar tadi.

Bila loceng akhir berbunyi, Fakri tiba-tiba mendapat idea untuk merungkaikan ikatan dengan menggigit tali tersebut hingga putus. Dia berlari keluar tanpa ana sedari. Ana tidak kisah, sebab sekurang-kurangnya ana rasa lega kerana tidak mendapat serangan jantung. Wa’iyazubillah….

akan disambung insya-Allah...


 0 Comments:

Post a Comment

<< Home