Friday, May 22, 2009

RINDU saat itu kembali... ke tapak tangan


15 Sya'ban - 30 Zulkaedah 1429H bersamaan16 Ogos - 28 November 2008M

~AnugeRaH TeRiNdaH~


Seorang ibu bercerita kepada bonda anna perihal pengalamannya yang risau bilamana anak perempuannya mencapai usia 26 tahun, masih belum disunting jua. Lalu siang malam dia berdoa, merayu meminta-minta kepada Pencipta Cinta agar menghadirkan seorang lelaki soleh buat anaknya. Namun, kala dia terbaca sepotong hadis tentang janji Pencipta Cinta tentang rezeki, jodoh pertemuan dan ajal telah ditetapkan buat hamba-hambaNya, si ibu tadi berhenti sebentar menganyam doa.




Tetapi, bilamana si anak masih belum dilamar juga tika di ambang usia 30an ibu mula gelisah dan kembali melazimi doa yang terhenti buat seketika. Berkat lisan mujarab Nabi SAW tentang doa wanita adalah paling makbul berbanding lelaki kerana ketara sifat penyayangnya melebihi lelaki, maka akhirnya dia dikurnia menantu lelaki yang ditunggu-tunggu selama ini.
Anna rasa gelihati mendengar cerita ma. Boleh pulak berhenti berdoa sedangkan pada anna, sesuatu yang diinginkan tidak semestinya Allah tunaikan segera. Adakala Dia gemar menangguhkan kerana rasa rinduNya pada kita selaku hambaNya yang seharusnya sering meminta-minta kepadaNya.



Indahnya rasa bila tahu diri dirindui Pencipta. Bukan sembarangan rasa itu. Tubir mata akan lekas mengolamkan kristal bening. Terasa dekatnya dengan kekasih sebenar. Perasaan beruntung menguasai fikiran. Maka akan terusirlah rasa frust, futur, sedih dan segala perisa tanpa gula dari belangan jiwa.



Betulkah kita mampu redha apabila lewat doa kita kepadaNya, langsung tiada respon?
Sahabat anna pernah sms ungkapan masyhur (di kalangan messenger) ini;"jika doamu dimakbulkan, tandanya Allah menyayangimu, jika doamu lambat dimakbulkan,tandanya Allah ingin mengujimu, jika doamu tidak dimakbulkan, tandanya Allah merancang yang terbaik untukmu..."



Adakala, mesej di atas berupa vaksin buat insan seperti anna yang terlalu mewah dengan cubaan. (perasan anna la)Sebenarnya, kena toleh kembali wasiat Rasulullah SAW di mana, setiap manusia ada ujian tersendiri yang Allah tentukan buatnya dan semestinya ia mampu dilalui oleh individu tersebut.



Malah, umat Baginda digalakkan pula melihat kepada penderitaan orang lain yang lebih hebat daripada ujian yang mendakapnya. Baharulah redha dan ikhlas saling ramah mengusap nubari sekaligus sebagai sebaik-baik penawar yang disediakan Allah buat hamba sabar yang dilukaiNya sebentar tadi.


Benar juga ada orang kata, pengalaman lebih tua daripada usia.
Anna harap mudah-mudahan, lembaran pengalaman inilah yang menjadi panduan buat anna lebih gigih mempertahan iman dan takwa kepadaNya demi menempuh alam baru yang bakal dilalui sebentar lagi.


Begitupun sunnatullah, dalam suka, ada duka. Dalam duka, ada rahmat disebaliknya.. seorang teman pernah membisikkan tasjik buat anna;katanya, "kalau Allah tidak beri di dunia, pasti akan dicashkan di akhirat nanti."merujuk kepada 'kehilangan' yang pernah anna lalui dalam episod sudah-sudah.



Tiada suatupun dapat menyaingi kebenaran yang dibawa oleh Rasul Pilihan melalui al-Quran dan sunnah tentang kemanisan janji Allah. Sedangkan untuk mendapatkan sesuatu, tidak sebentar prosesnya. Justeru untaian doa sifar noktah menjadi sarapan siang dan malam bagi setiap mu'min.



Daripada Abi Hurairah:Sesungguhnya Rasulullah bersabda:"Sesiapa yang menghendaki Allah memakbulkan doanya semasa kesukaran dan kesempitan,maka hendaklah dia memperbanyakkan doa semasa senang".(Riwayat at-Tirmizi dan Hakim)



25 Zulkaedah 1429H
Hanya empat hari sahaja lagi...
Orang-orang mungkin berfikir bahawa anna hanya menghitung hari untuk melepaskan busana gadis dan menyarung fustan isteri tika ini.
Hakikatnya, anna masih belum disapa rasa itu apabila hari-hari anna terusan diserbu kesibukan yang tidak tertanggungkan. (adik-adik masih belum pulang..)
Pelbagai rancangan yang pernah terlintas di perdu minda, terbang bersama daun hal yang masih belum lunas.


Inilah yang anna sebut-sebutkan, siapapun takkan sangka apa yang akan berlaku kepada diri mereka sejurus selepas dia mengerdipkan mata. Seharusnya tempoh walau sesingkat manapun, takkan bisa ditebak oleh manusia biasa bakalan terjadi pada nasib dirinya. Gembirakah? Sedihkah? Beruntungkah, atau rugi pula?



SYUKUR kalimah sakti bagi umat Islam. SYAKIR/AH semestinya wujud dalam setiap jasad yang mengaku beriman. SUJUD SYUKUR bukti segala rasa sukacita bahkan adakala duka... kerana rahsia Allah mengatasi segala hikmah yang mengiringi.
Bagaimana tidak, kebunan doa anna tujuh tahun kebelakangan ini dibawa malaikat kepada Rabbul Jalil lalu dianugerahkan kepada anna berita gembira itu?! bismiLLAHi masyaAllah!!!
Cinta sekebun bunga daripada Pencipta Cinta...


Aduh, manis rupanya ratapan rayuan kepadaNya selama ini. Kerana anugerahNya ini benar-benar InDaH!



Betapa perca kesakitan sebelum ini pernah dijahit oleh sahabat melalui benang-benang doanya;"ya Allah, jagalah insan yang ku kenali ini..kuatkan langkahan kakinya di jalanMu..kuatkan jasadnya dengan rahmatMu...kuatkan ruhnya dengan ruhMu...buatlah ia tersenyum.."



Kini anna diizinkan Allah untuk melenyapkan kesedihan itu dan diganti pula dengan senyuman pelangi paling cemerlang.
Semoga ikatan ini menjadi bukti kecintaan dan ketaatan kepada fitrah yang diciptakanNya, bakti dan kasih kepada kedua ibu bapa kamiseterusnya lambang keimanan dan saksi kami kepada sunnah RasulNya!



Ya Allah Ya Tuhan kami...
"Jadikanlah kami suami isteri yang saling mencintai di kala dekat, saling menjaga kehormatan di kala jauh, saling menghibur di kala duka, saling mengingati di kala bahagia, saling mendoakan dalam kebaikan dan ketakwaan serta saling menyempurnakan dalam beribadah."
Mudah-mudahan anna menjadi isteri yang taat kepada Allah, Rasul dan suami.
Menjadi isteri solehah sekaligus penyejuk mata suami.
Menjadi madrasah terbaik bagi ajyal yang dikurnia Allah buat kami.
Bertambah keimanan dan ketakwaan kepada Rabbul Izzati.





SEMAKIN HARI SEMAKIN

SaYanG!


 0 Comments:

Post a Comment

<< Home